Suami Tumbuk Muka Isteri

ZAINON (kiri) semasa hadir pada perbicaraan suaminya yang didakwa kerana mencederakannya di Mahkamah Majistret Melaka semalam.

MELAKA – Gara-gara mencederakan isteri sendiri dengan menumbuk mukanya ketika bertengkar, seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Muzila Mohamed Arsad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Norazman Mohd. Said, 44, selepas tertuduh mengaku salah bagi pertuduhan kedua yang disabitkan ke atasnya.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut isterinya yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan kedua itu, Md. Norazman didakwa mencederakan Zainon Basir, 43, di rumah No. 15, Jalan M27 Taman Merdeka, Batu Berendam pada pukul 12.30 malam, 1 Ogos lalu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman terhadapnya diringankan.

“Jika boleh saya hanya mahukan hukuman denda dan tidak dikenakan hukuman penjara,” katanya.

No comments:

Post a Comment